Perkongsian kali ini agak santai sedikit. Lebih kepada mengajak diri sendiri dan pengunjung blog ini melihat ke belakang sepanjang hampir setahun Allah panjangkan umur kita pada tahun 2010.
Yang pastinya terlalu banyak kesyukuran yang perlu kita persembahkan kepada Allah atas setiap detik kurniaan yang Allah s.w.t limpahkan kepada kita. Kerana apa?
Bagi saya kerana perkara-perkara ini; impian-impian kecil & besar dalam hidup saya Allah s.w.t kabulkan dan menjadikan ia satu realiti atau material yang boleh saya pegang dan rasai. Juga kerana kita percaya Allah s.w.t Maha Baik kepada hamba-hambaNya.

Untuk lebih jelas, saya galakkan diri saya dan pengunjung sekalian menyenaraikan satu persatu impian-impian itu. Alhamdulillah untuk tahun 2010, Allah s.w.t kabulkan permintaan saya untuk...
IMPIAN 1. Dapat pekerjaan yang sesuai dengan minat dan kecendeungan saya - Pegawai Penyelidik Media di sebuah NGO - Ummah Centre di Shah Alam

IMPIAN 2. Menyelesaikan beberapa masalah-masalah besar dalam keluarga. Alhamdulillah selesai ketika Aidilfitri tahun 2010.
Adik lelaki bongsu saya bersama-sama anak-anak saudara ketika ziarah hari raya tahun lepas. Ya Allah jadikan kami generasi yang faham agama dan memakmurkan bumiMu. Ameen.
IMPIAN 3. Allah s.w.t temukan saya dengan mentor-mentor yang hebat bos saya En.Izham, kakanda saya YB Senator Mumtaz Md Nawi (antara Senator termuda di Dewan Negara), seorang lagi mentor saya kakanda Muna Izzah Dato' Fadzil yang sentiasa memberi konsultasi mengenai imej diri dan kemahiran komunikasi dan macam-macam lagi, juga temukan saya dengan seorang lagi Ibu untuk saya berkongsi pendapat dan tunjuk ajar - Ibu Azlin Hezri.

Bersama mentor dan sahabat-sahabat di Ummah Centre & ESSB. InsyaAllah impian 2011 semua tercapai. Ameen.

"K.Taz nak awak lihat hidup ini mudah" - Antara nasihat yang sentiasa dititipkan kepada kami adik-adik. Tokoh muda ini menterjemahkan prinsip mudah ini dengan percaya bahawa segala-galanya mudah apabila kita menyedari ALLAH s.w.t bersama-sama hamba-hambaNya yang sentiasa berbuat kebaikan. (InsyaALLAH saya akan kongsikan pengalaman dan asam garam Senator muda ini berkhidmat di Dewan Negara hampir 4 penggal. Antara yang menarik ialah Kerajaan BN sentiasa melantik senator ini menjadi ketua delegasi Malaysia ke program-program di luar negara. Senator Pakatan Rakyat dari negeri Kelantan ini sentiasas diingatkan bahawa beliau mewakili Malaysia dan bukan mewakili Pakatan Rakyat! Terbukti beliau pemimpin muda yang punya kaliber dan karisma tersendiri. Dihormati lawan dan disayangi kawan.)

"Anak saudara dan ibu saudara - K.Muna 'Izzah Fadzil (Anak almarhum Dato' Fadzil Noor, mantan Presiden PAS) dan mantan Senator Ustazah Jamilah Ibrahim atau Mak Lah, dua figura yang amat memberi inspirasi kepada saya untuk lebih lembut mensantuni mad'u. Mereka punya aura yang sangat kuat. Terbuka dan penuh dengan kasih sayang kepada orang-orang di sekeliling mereka!"

Ibu Azlin Hezri. Terima kasih Ibu, sudi mendengar dan berkongsi teknik-teknik berdepan dengan cabaran sebagai seorang wanita, anak dan muslimah. Sangat supportive, terbuka dan punya semangat juang yang kental sebagai daie. Ibu saya di Shah Alam.
IMPIAN 4. Allah s.w.t bantu selesaikan beberapa hutang yang penting untuk saya langsaikan.

IMPIAN 5. Menghadiahkan atau mengganjari diri saya dengan BlackBerry 9780 yang sangat membantu saya sebagai seorang Pegawai Penyelidik dan jurnalis.

BB ini sudah menjadi sahabat karib saya. Sentiasa update maklumat semasa. Yang paling mengujakan setiap kali ada persoalan saya akan tanya Prof.Google. walaupun satu perkataan bahasa inggeris yang saya tidak faham.
IMPIAN 6. Kembali ke dunia media atau industri media dalam usaha menjadi jambatan antara NGO islam dan artis atau selebriti. Tahun ini Allah s.w.t makbulkan doa saya untuk berkerjasama dengan magnet-magnet dakwah seperti Wardina Safiyyah. InsyaAllah akan datang saya teringin nak membawa pelakon filem Ketika Cinta Bertasbih - Oki Setiana Dewi yang memegang watak Ana Altafunnisa ke Malaysia. InsyaAllah.


Impian ke 7, 8, 9, 10 dan banyak lagi impian-impian kecil dan besar tercapai yang membuatkan saya lebih yakin dengan kekuasaan Allah s.w.t dan dengan segala sifat kesempurnaanNya di disitulah tiada yang mustahil untuk Allah s.w.t lakukan. Apabila Dia katakan 'Kun fayakun' atau jadi...maka jadilah.
Formula yang penting di sini adalah mintalah...akan Dia perkenankan dan tunaikan..jika sudah termakbul maka bersyukurlah..akan Dia tambah nikmat dan pemberiannya itu.
Jadi, apa tunggu lagi? Senaraikan segala nikmat Allah s.w.t yang dikabulkan..langkah seterusnya nyatakan dan senaraikan pula impian-impian untuk 2011. Tips yang paling penting tahu dan jelas halatuju anda, spesifik, wujudkan jaringan sosial anda, berdoa dan laksanakanlah ia. YAKINlah dengan janji Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 186:
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada engkau tentang Aku, maka sesungguhnya Aku sangat dekat (kepada mereka). Aku perkenankan doa orang-orang yang mendoa apabila ia memohon (mendoa) kepada-Ku. Sebab itu, hendaklah mereka memenuhi (seruan)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk."
Mulakan sekarang, jika bukan melalui blog seperti saya...boleh juga mulakan dengan sehelai kertas dan pen! Selamat mencuba!




1 comments:
Alhamdulillah..dan berusahalah untuk mencapai impian yg belum berada di gengaman.
Catat Ulasan